KUCHING: Malaysia Largest Sarawak Themed Mural Maze bakal menyaksikan artis daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) membuat lukisan mural sepanjang 181 meter.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ini akan menyaksikan kerjasama antara pemain industri bersama belia dan pelajar untuk mencipta rekod dalam ‘Malaysia Book of Records’.
Tambah beliau, ia dijangka siap pada Mei 2022 dan dipamerkan pada 21 Mei hingga 4 Jun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Ia akan menjadi detik yang membanggakan untuk rakyat Sarawak.
“Melalui ini juga, kita dapat mempamerkan keindahan kepelbagaian etnik kita yang mana saya percaya ia memainkan peranan berpengaruh membangunkan legasi budaya dan warisan untuk Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian “Malaysia Largest Sarawak Themed Mural Maze” di BCCK pada Jumaat.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak memberitahu, lukisan mural ini akan bertemakan lima elemen ‘More to Discover’ Sarawak iaitu budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF).
Turut hadir ialah Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan dan Pengerusi Penganjur Michael Yii.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS